KULAI: Berkerusi roda tidak menjadi penghalang buat seorang warga emas untuk menunaikan haji setelah tiga kali terpaksa melupakan hasrat melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Azmi Kassim, 64, yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja pembersihan berkata, dia menggagahkan diri untuk menunaikan haji kali ini memandangkan rezekinya dipanggil ke Tanah Suci merupakan berkat tabungan sejak mendaftar dengan Tabung Haji pada 2009.

Bapa empat anak itu berkata, tawaran haji yang pertama pada tahun 2020 dan 2022 terpaksa ditolak akibat COVID-19, manakala 2023 pula kerana tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Bagaimanapun katanya, tawaran haji keempat pula dia diuji dengan kemalangan pada Feb lepas dan terpaksa berkerusi roda setelah lima jari kaki kanannya dibuang.

"Kemalangan berlaku tahun ini, mula-mula rasa macam berat hati hendak pergi haji, tetapi atas semangat dan dorongan keluarga, kawan-kawan dan doktor, saya pergi.

"Saya kena kuat semangat, Insya-Allah boleh, sekarang pun fasiliti sudah moden, jadi kita gunalah keperluan yang disediakan untuk tunaikan haji," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Meraikan Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1445H/2024M di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini pada Rabu.

Azmi ditemui pemberita pada Majlis Meraikan Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai, 22 Mei 2024. --fotoBERNAMA

Dia yang telah kematian isteri tahun lepas berkata anak sulungnya Rashimah, 42, serta suaminya turut menunaikan haji bersamanya sekali gus dapat membantunya sepanjang berada di tanah suci.

Selain Azmi, tujuh sekeluarga turut berpeluang untuk menunaikan haji bersama setelah menanti sejak 15 tahun lepas.

Bapa tiga anak Prof Dr Safian Sharif, 63, berkata, panggilan dari Tabung Haji membawa berita gembira untuk keluarganya yang mendaftar pada 2009.

"Alhamdulillah selain isteri dan tiga orang anak, dua menantu saya juga berpeluang untuk menunaikan haji bersama.

"Tidak terkata perasaan kami ketika ini, sangat-sangat bersyukur dan gembira, Allah pilih kami semua untuk tunai haji bersama-sama pada tahun ini," kata Pengarah Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Pagoh yang telah dua kali menunaikan haji itu.

Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi meraikan 137 jemaah haji dari Johor yang merupakan kumpulan terakhir berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari LTAS sebelum melanjutkan penerbangan terus ke Makkah, Arab Saudi menerusi penerbangan MH8408 pada jam 8 malam Rabu.

-- BERNAMA