KUALA LUMPUR:Masyarakat perlu memberikan kerjasama setiap kali Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu menjalankan proses saringan di sesebuah kawasan.

Pakar Epidemiologi dari Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi berkata, ada laporan mendakwa terdapat individu yang melarikan diri sebaik mengetahui KKM mahu melakukan proses saringan di kawasan mereka.

Menurutnya, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana saringan adalah sangat penting dalam mengesan kes positif.

“Buat masa ini saringan di Sabah dan keseluruhan kawasan di Malaysia dilakukan secara konsep bersasar.

“Saringan ini dilakukan di lokaliti tertentu dan tujuan utama untuk mengesan kes dalam kalangan masyarakat.

“Konsep ini masih sesuai dan apa yang lebih penting dan perlu ditekankan buat masa ini adalah orang ramai dan masyarakat terutama di kawasan merah diminta beri kerjasama. Kerjasama semasa aktiviti saringan amat penting,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, komunikasi berkesan amat penting dan perlu sentiasa diamalkan dalam memastikan masyarakat faham kepentingan melakukan saringan COVID-19.

“Salah satu perkara penting yang perlu ditekankan ialah stigma.

“Jangan pula masyarakat lain bersikap negatif kepada mereka yang dikuarantin atau isolasi kerana ini salah satu yang akan sukarkan aktiviti saringan.

"Aktiviti saringan ini amat penting kerana kalau tak disaring, kita tak tahu siapa yang dijangkiti,” ujarnya.