Beratus-ratus rakyat Malaysia yang masih terkandas di India akan dibawa pulang ke tanah air dengan penerbangan khas dalam tempoh beberapa hari lagi.

Satu penerbangan dari Tiruchirappalli di Tamil Nadu dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur pada Rabu malam dengan membawa sejumlah 181 orang.

Penerbangan lain untuk membawa mereka pulang dirancang pada Sabtu dan Ahad dari New Delhi ke Kuala Lumpur manakala bagi mereka yang terkandas di Chennai dan Tiruchirappalli berpeluang meninggalkan negara itu antara Khamis dan Ahad.

Rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air akan dikuarantin serta-merta selama 14 hari di bawah langkah-langkah pengawalan koronavirus, menurut Kerajaan Malaysia.

Beberapa rakyat Malaysia yang terkandas mungkin memutuskan untuk menangguhkan kepulangan mereka ke tanah air susulan peraturan baharu itu, menurut seorang individu yang membantu mereka.

BACA: COVID-19: India laksana perintah berkurung 21 hari

BACA: Wisma Putra akan bantu rakyat Malaysia terkandas di India - Hishammuddin

Beribu-ribu rakyat Malaysia yang berkunjung ke India terkandas di negara itu selepas penerbangan penumpang digantung bulan lepas sebagai antara langkah India dalam memerangi pandemik COVID-19.

Kira-kira 1,450 orang telah dibawa pulang ke tanah air dengan penerbangan khas sehingga Isnin.

Jumlah kes positif jangkitan COVID-19 di India setakat petang Rabu mencecah 1,637 dengan 45 kematian.

-- BERNAMA