KUALA LUMPUR: Sebuah premis bengkel lori disyaki menjadi punca kepada kesan pencemaran seakan minyak diesel di dalam longkang awam berhampiran Sungai Langat.

Pencemaran yang boleh menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) itu dilaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 3.45 petang semalam.

LUAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menemukan sisa minyak di longkang berhampiran premis bengkel lori berkenaan.

"Sehubungan itu, LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh.

"Pensampelan dijalankan oleh LUAS di empat lokasi berbeza di dalam premis, luar premis, di kawasan hulu dan hilir Sungai Langat selain pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga mengambil sampel di dalam premis kilang berkenaan.

"Anggaran jarak pencemaran ke tiga lokasi LRA di bahagian hilir adalah 24 kilometer (km) ke LRA Semenyih 2, 32km ke LRA Bukit Tampoi dan 44km ke LRA Labohan Dagang," katanya.

Menurut LUAS, Air Selangor meletakkan dua beg Serbuk Karbon Teraktif ke dalam longkang berhampiran premis bagi menahan sisa minyak daripada masuk ke dalam saluran longkang, seterusnya ke dalam Sungai Langat.

Jelasnya, tindakan kawalan segera di tapak dalam tempoh kurang empat jam itu juga melibatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada gangguan kepada LRA dan bekalan air kepada pengguna.

"LUAS mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.

"Pihak JAS dan MPKj juga telah memberi arahan pembersihan segera kepada pihak premis.

"Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999," tambahnya.