Kerajaan belum lagi mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana syarikat konsesi lebuh raya untuk menaikkan kadar tol sebaliknya masih mempertimbangkan langkah-langkah terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan itu kepada rakyat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, kerajaan sedang mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk mengadakan makmal yang dikendalikan oleh Pemandu untuk mengkaji kesan kenaikan kadar tol pada tahun 2014.

"Saya ingin menjelaskan bahawa berdasarkan perjanjian konsesi sedia ada, terdapat beberapa lebuh raya di mana kadar tol akan dinaikkan pada tahun 2014.

"Namun kerajaan masih belum mengeluarkan arahan kepada mana-mana syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa sejak 2008, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan beban kewangan pengguna lebuh raya.

Ini termasuk menangguhkan kenaikan kadar tol 15 lebuh raya antara 2008 hingga 2013, menutup awal plaza tol dan memansuhkan kutipan tol melibatkan 7 plaza tol dan mengurangkan kadar tol di tiga lebuh raya.

Kerajaan juga katanya menstruktur semula kadar tol melibatkan lebuh raya-lebuh raya di bawah kendalian syarikat PLUS dan Kumpulan MTD.

Fadillah juga membayangkan kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana dalam mempertimbangkan langkah-langkah untuk mengurangkan kesan kepada rakyat, kerajaan juga perlu menghormati perjanjian konsesi yang ditandatangani.

Ini bagi memastikan kerajaan "terus mendapat keyakinan pelabur dan supaya tidak menjejaskan usaha meletakkan ekonomi negara di landasan yang lebih kukuh dan berdaya saing."