KUALA LUMPUR: Remaja kurang upaya (OKU) Bella yang didakwa menjadi mangsa pengabaian ketika di bawah jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hadir ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kanak-kanak berusia 13 tahun itu dilihat hadir kira-kira jam 9.45 pagi dengan menaiki van Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bella dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk melakukan sesi pengecaman terhadap beberapa saksi kes berkenaan, selain pengecaman saksi ke atas Bella.

Remaja OKU itu yang kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban sepatutnya hadir dua kali sebelum ini iaitu pada 31 Mei lalu dan 4 hari lepas.

Namun, ia terpaksa ditangguhkan kerana remaja Sindrom Down tersebut demam.

Sesi hari ini bersambung dengan pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan terhadap saksi kelapan Suhana Zam, 40.

[TERKINI] Bella hadir prosiding pengecaman di mahkamah


Bella

Saksi berkenaan yang merupakan Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman adalah rakan kepada Siti Bainun yang dikenali sejak 10 tahun lalu ketika bertugas di Menara Dato’ Onn.

Siti Bainun sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.