Mengakui setiap proses penciptaan produk amat mencabar, namun itu bukan halangan bagi mereka untuk lebih bersemangat mencuba dan menyahut cabaran untuk menghasilkan sesuatu yang di luar kotak.
Bagi pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang yang merangkul tiga emas dan satu perak dalam Anugerah Pereka Muda AYIE 2014, mereka menggunakan kulit kerang dalam bahan uji kaji bagi produk salut anti karat mereka.
Menurut Muhammad Izzan Izham, idea tersebut tercetus sewaktu mereka memikirkan kaedah penyelesaian paip di asrama yang sering berkarat.
"Asrama kami sering mengalami masalah paip berkarat. Jadi salutan yang kami cipta ini mampu diaplikasikan ke atas paip air yang dapat menghindari daripada berkarat. Ia secara tidak langsung akan mengurangkan kos," kata Izzan yang merupakan pelajar tingkatan lima.
Setelah mendapat iktirafan, mereka kini lebih bersemangat untuk mendaftar paten bagi ciptaan mereka.
"Meskipun kosnya mahal untuk mempatenkan ciptaan, tapi kami akan cuba yang terbaik untuk mendapatkannya," katanya kepada wartawan.
Selain itu, penciptaan Sekolah Kebangsaan Kelantan iaitu 'Sinki Boleh Laras' turut mendapat perhatian di Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ITEX 2014.
"Singki berada dikedudukan yang tetap sukar bagi pengguna terutamanya kanak-kanak. Jadi ciptaan kami berfungsi melaras ketinggian untuk kemudahan yang lebih selesa." Kata Norizara Abdullah yang merupakan pelajar darjah enam.
Ciptaan 'Sinki Boleh Laras' oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Telkung di Kelantan
Menurut Norizara ciptaan tersebut hanyalah permulaan. Beliau dan kumpulannya akan terus menghasilkan produk inovasi yang bermanfaat kepada masyarakat.
Tambahnya dengan lebih banyak pameran seperti itu, banyak peluang akan diberikan kepada golongan belia.
Pada masa sama, pelajar Institut Kemahiran di bawah Jabatan Tenaga Manusia turut menarik perhatian dengan ciptaan produk plastik penangkap habuk ketika menggerudi.
"Ciptaan kami dapat menangkap habuk ketika menggerudi yang mana habuk tidak akan jatuh ke atas lantai."
"Ia juga dapat menjamin kebersihan di tempat kerja kita," kata Azilia Hamjah sewaktu ditemubual wartawan.
Azilia sedang menunjukkan ciptaan plastik penangkap habuk yang digunakan sewaktu menggerudi.
Tambahnya banyak lagi idea yang tercetus dalam bidang pertukangan dan pembinaan. Namun pihaknya mempunyai kekangan dari segi kewangan untuk menghasilkannya.
Harapan golongan belia sangat tinggi kerana mereka bukan sahaja mahu menyumbang dari segi idea tetapi dapat menghasil produk berinovasi tinggi yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.