KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu fokus terhadap usaha menangani isu-isu yang membebani rakyat dan melawan salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belia mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan negara dan tidak menumpukan pada isu-isu remeh yang dimainkan atas dasar Melayu Islam.

"Rakyat yang merempat masih ramai. Isu mutu pendidikan masih belum selesai. Anak-anak muda di desa dan pedalaman belum mendapat pembelaan. Tumpu isu ini, bangunkan negara.

"Jangan sibuk dengan isu remeh pertahankan penyelewengan. Ini tidak, apabila saya singgung orang besar (kenamaan) dan bilionair tentang rasuah, banyak yang bersuara atas nama Melayu dan Islam, pertahankan tauke-tauke besar yang rasuah.

"Ada yang marah saya, kata saya dendam. Dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik kepada rakyat," kata Anwar.

Tambahnya lagi, sudah terdapat kemajuan dalam isu tadbir urus apabila sepanjang dua tahun memimpin kerajaan, belum ada kes skandal rasuah membabitkan menteri atau pimpinan di bawahnya.

"Hal ketirisan, saya memang tak ada tolak ansur. Adakah saya berjaya sepenuhnya? Tidak, tapi ini permulaan yang baik.

"Dua tahun saya jadi perdana menteri, tak ada skandal menteri atau kepimpinan yang mencuri kontrak. Semua keputusan melalui proses yang ketat," katanya lagi.

Anwar juga sekali lagi mengulangi komitmen untuk membantu dan tidak berkompromi dalam usaha menaiktaraf kehidupan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri  Johari Abdul; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, aktivis belia dan rakan strategik MBM.

Persidangan MPAT MBM berlangsung bermula 9 hingga 11 Januari dengan kehadiran 399 orang perwakilan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kerja, Dewan Tertinggi dan Badan-badan Gabungan MBM dari seluruh negara.