GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang berharap kerajaan dapat mengembalikan cukai jualan ke atas rokok dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan esok kerana ia akan menjimatkan wang yang dibelanjakan oleh ribuan keluarga untuk rokok.

Presidennya Mohideen Abdul Kadeer berkata kali terakhir cukai jualan dan perkhidmatan dikenakan ke atas produk tembakau ialah pada 2018, justeru pihaknya berharap cukai jualan mandatori dikenakan ke atas rokok bagi mengurangkan jumlah lima juta perokok dalam negara ketika ini.

"Berdasarkan tinjauan CAP, perokok membelanjakan kira-kira RM500 setiap bulan sedangkan makanan yang sihat tidak memerlukan wang sebanyak itu.

"Kenaikan harga rokok melalui cukai lebih tinggi terbukti berkesan dalam mengurangkan bilangan perokok di negara-negara lain tanpa mengira tahap pendapatan, malah ia juga mendorong sesetengah perokok untuk berhenti dan menghalang orang lain daripada mula menghisap rokok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri dijadual akan membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 4 petang esok dan ia merupakan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA