Tindakan sepasang suami isteri serta rakan mereka menanam pokok ganja di rumah selepas belajar mengenainya di saluran perkongsian video di Internet membawa padah apabila perbuatan itu terbongkar menyebabkan mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata semua suspek berusia 21 hingga 28 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Butterworth pada Khamis.

"Hasil siasatan awal, aktiviti penanaman pokok ganja ini dipercayai bermula awal tahun ini. Suspek cuba menanam ganja dengan belajar melalui satu laman perkongsian video itu.

"Ketiga-tiga mereka juga didapati tidak sempat menjual hasil tanaman itu kepada mana-mana pihak lain" katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.


Norzainy berkata dalam serbuan itu, polis merampas empat pasu pokok ganja yang ditanam mereka sejak Februari lalu dengan setiap pokok dianggarkan bernilai RM200.

Katanya, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952