KUCHING: Bekas Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Bujang Mohd Nor meninggal dunia pada Selasa, malam.

Allahyarham yang genap 88 tahun pada 8 Ogos lalu, menghembuskan nafas terakhir selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Pusat Rawatan Pakar Normah sejak Jumaat lalu.

Bujang yang merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dari tahun 1984 hingga 1992, memangku jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Januari 2016, apabila Tun Abdul Taib Mahmud bercuti ke luar negara.

Selain itu, beliau pernah dilantik ke.jawatan yang sama sebanyak tiga kali lagi.

Bujang memecah tangis di Kampung Sungai Lajim, Kuching dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada 1949, dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian.

Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Lawas pada 1962 dan dilantik sebagai Majistret Kelas Pertama di Lawas.

Pada tahun 1965, beliau menyandang Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Sumber Asli dan dilantik  memangku jawatan Setiausaha Tetap kementerian itu sebanyak tiga kali, bagi menggantikan seorang Pegawai Ekspatriat British ketika itu.

Pada awal tahun 1965, Bujang berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Sarikei dan Binatang (sekarang Bintangor) dan dihantar berkursus di The Hague, Belanda di bawah anjuran Colombo Plan Fellowship Award dalam bidang Pembangunan Nasional.

Sekembalinya beliau dari Belanda pada 1967, Bujang dilantik Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri sebelum menjawat Setiausaha Kewangan Negeri pada tahun 1971 hingga 1984.

Sepanjang perkhidmatannya, peminat sukan tenis ini dikurniakan pelbagai darjah kebesaran, antaranya Darjah Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA), Panglima Setia Mahkota (PSM), Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS), Johan Setia Mahkota (JSM), Johan Bintang Sarawak (JBS), Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Bakti Jubli Perak, Pingat Peringatan Delima (Emas) dan mutakhir, Pingat Pemacu Peringatan Terbilang Jubli Intan pada Hari Sarawak yang lalu.

Pada 2009, Bujang juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh 1Malaysia sempena sambutan perayaan Hari Malaysia pada tahun tersebut bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti beliau kepada negara.

Selain itu, beliau juga diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Sarawak pada tahun 2018.

Beliau dilantik memegang jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah pelbagai syarikat dan organisasi  termasuk sebagai Presiden Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) dan Pengerusi Eksekutif Harwood Timber Sdn Bhd.

Bujang juga pernah dilantik Ahli Lembaga Pengarah, dan Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dari tahun 1993 hingga 2010, dan Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) (1998- 2016) .

Pada tahun 2006 hingga 2015, beliau dilantik Ahli Lembaga Pengarah International Centre for Education in Islamic Finance.

Bujang yang mendirikan rumah tangga dengan Allahyarhamah Dato Sri Dayang Lela Abang Zawawi meninggalkan enam cahaya mata, dua lelaki dan empat perempuan.