JOHOR BAHRU: Seorang bekas pegawai khas Menteri Besar Johor di Johor Corporation (JCORP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi atas pertuduhan pemalsuan dokumen slip gaji bernilai kira-kira RM15,800 empat tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Anuar Daud, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang kini bekerja sebagai Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat penerbangan itu didakwa memalsukan dokumen slip gaji sebuah syarikat penerbangan bagi bulan Mei 2018 yang berjumlah RM15,820.63 untuk tujuan menipu, antara 26 Jun sehingga 10 Julai 2018

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia - Operasi JCORP di Menara Komtar, Johor Bahru.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dayang Masneh Deh manakala terduduh diwakili peguam, Hazza Khalid.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Di samping syarat tambahan, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah selain diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru, sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun beserta denda, jika sabit kesalahan.