Bekas Naib Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad, Rabu mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, sebagai calon Bebas.

Syed Araniri, 40, yang menjalankan perniagaan Perubatan Islam di Alor Setar, berkata beliau memutuskan demikian selepas berbincang dengan anggota keluarga, rakan-rakan bekas anggota DAP dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Selepas keluar daripada DAP Mei tahun lalu, saya tidak terikat dengan mana-mana parti politik, jadi saya akan bertanding atas tiket Bebas. Saya yakin keputusan bertanding atas tiket Bebas ini akan mendapat sokongan padu pengundi Melayu Islam dan pengundi lain yang 'tidak berselera' dengan mainan politik DAP dan Gerakan," katanya dalam sidang akhbar di Alor Setar.

Syed Araniri berkata antara faktor utama membuatkannya mahu bertanding di Teluk Intan adalah bagi mendedahkan agenda DAP dalam politik Malaysia yang boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat Melayu dan Islam.

Syed Araniri merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling Islam, Institut Agama Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, Indonesia.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Teluk Intan pada 19 Mei dan pengundian pada 31 Mei.