KUALA LUMPUR: Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menasihatkan agar pasangan suami isteri mengelak daripada mengungkit keaiban atau kekurangan masing-masing terutamanya selepas berlaku perpisahan.


Ringkasan AI
  • Elakkan ungkit keaiban: Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan pasangan suami isteri agar tidak mengungkit keaiban atau kekurangan masing-masing selepas perpisahan, dan sebaliknya melihat kebaikan pasangan sepanjang perkahwinan.
  • Jaga emosi anak-anak: Sangat penting untuk menjaga emosi anak-anak yang terlibat dalam perpisahan agar mereka tidak menjadi mangsa dan tetap merasakan kasih sayang kedua-dua ibu bapa.
  • Perceraian sebagai pilihan terakhir: Zulkifli menekankan bahawa perceraian dibenarkan dalam Islam tetapi ia adalah perkara yang paling dibenci oleh ALLAH SWT dan seharusnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan dilakukan.


Bekas Mufti Wilayah Persekutuan dalam kemas kini di laman sosial berkata, Islam mengajar umatnya untuk melihat kebaikan dan mengingati jasa pasangan sepanjang perkahwinan.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu, beliau menambah setelah berlaku perpisahan, setiap individu perlu memberi ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam.

"Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan. Namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.

"Selain itu, sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa.

"Jangan sekali-kali mencederakan emosi mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa," tulisnya dalam entri tersebut.

BACA: “Tohmahan Fazura untuk malukan saya” - Fattah terkejut dakwaan bekas isteri

Zulkifli berkata, dalam perjalanan perkahwinan, tidak dinafikan wujud badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah hubungan dan setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran itu.

Jelas beliau, walaupun Islam mengingatkan bahawa perceraian itu dibenarkan, tetapi ia adalah perkara yang paling dibenci oleh ALLAH SWT dalam kalangan yang halal.

"Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan," ujarnya lagi.


Dalam masa sama, Zulkifli mengingatkan semua pihak yang berdepan konflik untuk sentiasa menjadi individu yang mendamaikan dan menasihati dengan kebaikan, bukan sekadar menjaga kesolehan diri sendiri.

Katanya, perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran daripada kedua-dua belah pihak.

"Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing," nasihatnya.

Hari ini industri hiburan tanah air menjadi tumpuan selepas pelakon terkenal tanah air, Fattah Amin dan Fazura sah bercerai talak satu.

Lebih mengejutkan apabila Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, antaranya mendakwa punca perceraian dia dan bekas suaminya adalah kerana Fattah berlaku curang.