PUTRAJAYA: Bekas Ketua Perangkawan Datuk Shaari Abdul Rahman meninggal dunia semalam.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gajah 11, Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan menyebut Allahyarham yang merupakan Ketua Perangkawan keempat memegang jawatan itu bermula 1995 hingga 2004.

Antara usaha dipelopori Allahyarham ketika berkhidmat di jabatan itu termasuk memperkukuhkan perkhidmatan jabatan melalui pengukuhan peranan DOSM peringkat negeri sebagai barisan hadapan dalam pengumpulan data.

Allahyarham turut memperkenalkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam prosesan serta penghantaran data secara dalam talian melalui Protokol Pemindahan Fail (FTP) daripada DOSM negeri ke ibu pejabat.

Pada 2000 di bawah pimpinan Allahyarham, DOSM telah dianugerahkan MS ISO 9002:1994 bagi perkhidmatan berkualiti untuk pengumpulan, pemprosesan, pentafsiran dan penyebaran Indeks Harga Pengguna dan Statistik Harga Pengguna Lain.

Shaari meneruskan khidmat sebagai penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik selepas bersara pada 19 Sept 2004 dan pada masa ini, Allahyarham merupakan Ahli Lembaga Pengarah di empat anak syarikat FELCRA.

"DOSM akan sentiasa mengingati setiap sumbangan dan bakti Allahyarham khususnya memperkukuhkan sistem statistik dalam membantu negara menyediakan dasar dan perancangan sosioekonomi negara," menurut kenyataan itu.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang memulakan karier sebagai Perangkawan pada 1 Mei 1971.

-- BERNAMA