KUALA LUMPUR: Seorang bekas juruteknik syarikat penapisan minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan kepadanya, empat tahun lepas.

Shaharuddin Sulong, 53, yang diberikan RM2,500 oleh David Lau Wen Jie, 33, bagi memudahkan pemeriksaan kemasukan kenderaan dan peralatan kerja bagi syarikat milik David di Pengerang Integrated Complex (PIC), didakwa melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana tidak melaporkan pemberian tersebut kepada pihak SPRM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Semantan di sini pada 13 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Rais Adha Ramli memohon agar mahkamah mengguna pakai jaminan RM10,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum ini berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, dan dia juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Johor Bharu sebulan sekali sehingga kes selesai.

Hakim Suzana Hussin membenarkan pemohonan pendakwaan untuk mengguna pakai jaminan dan syarat tambahan sebelum ini serta menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan kes Shaharuddin yang diwakili peguam A. Rayveni.

Sebelum ini Shaharuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 13 pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM12,900 daripada mangsa sama.

-- BERNAMA