GEORGE TOWN: Keadaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Datuk Seri Phee Boon Poh yang tidak sihat akibat serangan jantung, kini semakin beransur pulih namun masih menerima rawatan di hospital untuk pemantauan lanjut.

Anak perempuannya yang juga ADUN Sungai Puyu Phee Syn Tze yang memaklumkan perkembangan ayahnya berkata sepanjang tempoh tersebut, bapanya dirawat di Hospital Pantai di sini dan kini sedang berehat.

"Datuk Seri (Phee) dirawat di Hospital Pantai sepanjang tempoh ini. Pada masa ini beliau sedang berehat," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak keluarga masih tidak dapat membenarkan sesiapa untuk melawat bapanya atas nasihat doktor pakar.

Phee dalam pada itu menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terus mengutuskan doa, serta prihatin terhadap perkembangan kesihatan bapanya.

Pada 1 Ogos, Phee, 72, dibawa ke hospital sejurus dilaporkan terjatuh di rumahnya kira-kira jam 11.45 malam ekoran serangan jantung.

Ahli politik veteran DAP yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang itu memegang jawatan ADUN selama empat penggal sebelum bersara pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas.

-- BERNAMA