Perkhidmatan bekalan air terawat bagi kawasan Klang, Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur yang mengalami gangguan sejak kebelakangan ini telah pulih seperti biasa mulai hari ini.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata gangguan bekalan air itu berlaku disebabkan pengurangan pengeluaran air terawat dari Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Katanya, bagaimanapun masalah gangguan bekalan air bagi beberapa kawasan di Hulu Langat masih berlaku ekoran tekanan rendah yang tidak berjadual sejak kebelakangan ini.

Tekanan rendah itu berpunca akibat bekalan air terawat dari LRA Sungai Semenyih dan LRA Sungai Langat tidak dapat menampung permintaan air yang tinggi di kawasan berkenaan, katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata Syabas akan terus menyediakan bantuan bekalan air kecemasan menerusi lori-lori tangki dan tangki-tangki air statik kepada pengguna-pengguna terlibat.