Namun, mungkin ramai tidak menyedari, di sebahagian kawasan yang majoriti penduduknya bukan Islam terutama di Sarawak, bazar Ramadan tetap meriah, malah menjadi salah satu simbol keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Salah satu contoh adalah Bazar Ramadan Kapit di Kapit Town Square di sini.
Dengan masyarakat Melayu hanya membentuk kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan penduduk bandar Kapit, bazar Ramadan di dataran bersebelahan Sungai Rejang ini tetap mendapat sambutan menggalakkan pelbagai kaum lain terutama Iban dan Cina.
Suasana berbeza ini menarik perhatian penjawat awam, Nurdhiya’aizat Othman, berasal dari Pahang yang pertama kali mengunjungi Kapit pada bulan Ramadan atas urusan kerja.
"Saya tahu kaum Melayu Islam adalah minoriti di Kapit justeru tidak menyangka bazar Ramadan tetap diadakan, malah meriah seperti di Semenanjung. Lebih menarik, di sini majoriti pengunjung sebenarnya adalah orang Iban dan Cina.
"Walaupun terdapat perbezaan kaum dan agama, masyarakat di sini kelihatan sangat harmoni, bersatu-padu dan mesra antara satu sama lain," katanya kepada Astro AWANI.
Dia turut berkongsi juadah mempunyai nama unik yang dibelinya di bazar berkenaan iaitu 'baby buntut' atau tongkeng ayam, selain kuih bungkor yang dibuat daripada tepung dan gula apong serta bubur buang panas iaitu manisan campuran kurma, bali dan beberapa bijirin lain.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang juga Menteri Kerja Raya berkata, bazar berkenaan adalah antara lambang perpaduan masyarakat di Kapit khususnya dan Sarawak umumnya.
"Suasana bazar Ramadan ini selalu meriah dikunjungi masyarakat pelbagai kaum yang turut sama membeli juadah yang enak.
"Beginilah Sarawak yang kami sayangi sejak dulu hingga kini, sentiasa harmoni," katanya yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar itu, baru-baru ini.
Terdahulu beliau berada di bazar berkenaan untuk menghadiri Jerayawara Bubur Lambuk Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) di bazar berkenaan yang turut diadakan di 61 lokasi lain di Kapit.