KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebarang perubahan struktur fi bagi rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan awam tidak akan dijalankan dengan segera dan sewenang-wenangnya.

Ketika sesi penggulungan Kertas Putih Kesihatan, Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata sebaliknya ia akan diteliti secara rapi dan telus dengan analisa wajar dan libat urus pihak berkepentingan.

"Paling penting adalah memastikan rakyat terutamanya golongan tidak berkemampuan dan golongan rentan tidak akan terkesan, serta akses perkhidmatan kesihatan mereka akan terus dinikmati," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata pada masa ini, kadar fi yang dikenakan di sektor awam adalah sangat minima kerana kerajaan memberikan banyak subsidi.

Jelas beliau lagi, kadar bayaran yang dikenakan adalah sama untuk semua pesakit tanpa mengira kesanggupan mereka untuk membayar.

"Malahan KKM juga tidak ada mekanisme untuk mengumpul lebihan fi walaupun ada pesakit yang sanggup dan mahu membayar lebih kerana mereka akan menghargai perkhidmatan komprehensif yang diterima," tambah beliau.

Sebelum itu ketika sesi perbahasan, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin antaranya meminta agar kerajaan tidak tergesa-gesa menaikkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ia akan menambahkan lagi beban rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.

Bekas Perdana Menteri itu turut mencadangkan agar kerajaan mengecualikan golongan berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan caj perkhidmatan kesihatan.

Sementara itu, pada hari terakhir persidangan Parlimen hari ini, Dewan Rakyat juga meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.

Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang itu, diluluskan selepas dibahaskan oleh 28 Ahli Parlimen selama hampir empat jam.