KAJANG: Misteri bau busuk akhirnya terungkai apabila mayat seorang lelaki ditemukan disumbat dalam sebuah bagasi di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussien Onn, di sini pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan di dalam bagasi biru di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussien Onn, pada Selasa. Penemuan ini dibuat selepas orang awam menghidu bau busuk.
  • Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, menyatakan bahawa mayat tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat yang dijangka dijalankan pada pagi Rabu.
  • Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden R K Umesh, di talian 012-6114900.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.45 pagi berhubung penemuan sebuah bagasi berwarna biru gelap dalam keadaan mencurigakan dan berbau busuk daripada orang awam.

Bertindak atas maklumat itu, kata beliau, sepasukan polis ke lokasi kejadian bersama pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dan polis menemukan mayat seorang lelaki tanpa sebarang pengenalan diri disumbat dalam bagasi itu.

"Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dibunuh di satu lokasi lain sebelum disumbat dalam bagasi dan dicampak di kawasan itu," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.

Naazron memberitahu, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat yang dijangka dijalankan 9 pagi Rabu.

Katanya, keadaan mangsa termasuk tempoh sebenar mangsa dibunuh hanya dapat dipastikan selepas proses bedah siasat.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu, diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis terdekat.