TANJONG MALIM: Dasar Kerajaan MADANI yang menumpukan perhatian kepada isu tatakelola bertujuan memastikan bantuan kepada golongan miskin di negara ini sampai kepada sasaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Kerajaan MADANI menekankan pentingnya tatakelola yang baik dan ketelusan dalam pengurusan agensi-agensi yang bertanggungjawab membasmi kemiskinan untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar tanpa ketirisan.
  • Kerajaan membelanjakan RM22 bilion setahun untuk membasmi kemiskinan. Anwar menegaskan bahawa pengurusan dana yang baik dapat menyelesaikan isu kemiskinan di negara ini.
  • Usaha membasmi kemiskinan perlu melibatkan pelbagai dimensi, termasuk menangani punca kemiskinan, pemilikan modal, dan kecelaruan dalam sistem pemasaran yang sering melibatkan penindasan oleh orang tengah.


Beliau berkata walaupun terdapat pelbagai agensi di negara ini yang ditubuhkan untuk membantu dan melaksanakan program membasmi kemiskinan, namun masih terdapat ketirisan menyebabkan bantuan tidak sampai kepada golongan sasar.

"Apa yang kurang di Malaysia? Semua ada, sebut soal pemasaran kita ada FAMA, untuk ikan kita ada LKIM, soal ladang kita ada Pertubuhan Peladang, pekebun kecil, RISDA, FELCRA, pembukaan tanah ada FELDA.

"Namun, apakah agensi-agensi ini diurus dan dilaksanakan dengan telus dan bertangggungjawab? sebahagian ya, sebahagiannya tidak," katanya ketika berucap pada majlis Syarahan Za'ba Seabad Pemikir Kemiskinan dan Hari Akademia Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Anwar berkata kerajaan membelanjakan sebanyak RM22 bilion setahun bagi tujuan membasmi kemiskinan, dan jika jumlah itu berjaya diurus dengan baik, ia mampu menyelesaikan isu kemiskinan di negara ini.

Sementara itu Anwar menegaskan bahawa isu kemiskinan perlu diperangi melalui usaha yang melibatkan pelbagai dimensi.

Beliau berkata usaha tersebut tidak boleh hanya tertumpu kepada pelaksanaan projek atau program semata-mata, sebaliknya pelbagai aspek berkaitan isu ini, termasuk punca kemiskinan, pemilikan modal dan kecelaruan dalam sistem pemasaran termasuk penindasan oleh orang tengah, perlu diberi perhatian.

"Contohnya, jika harga ikan di Pantai Remis RM2, sampai ke Ipoh (jadi) RM6, dan bila sampai Kuala ke Lumpur, jadi RM12. Kecelaruan ini tidak membantu nelayan miskin, kita buat projek bantu rakyat miskin di Pantai Remis, tapi jika kita tak betulkan penindasan orang tengah, ini ketempangan, produktiviti dan modal yang rendah. Inilah masalah yang (perlu) kita tekankan," katanya.

Beliau berkata isu kemiskinan dari pelbagai dimensi telah lama diulas dan diperjuangkan oleh para sarjana dan akademia, termasuk pemikir bangsa Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) dan ilmuan hari ini menjadikan rujukan bagi membina tekad baharu membasmi kemiskinan.

"Kita harus manfaatkan peluang ini untuk membina tekad yang baharu. Dalam sejarah mana-mana bangsa dan negara, terdapat ketika di mana kita diberikan kesempatan untuk memutuskan sama ada kita akan melakukan anjakan ke arah kebaikan atau kekal di takuk lama," katanya.

Dalam pada itu, Anwar menekankan bahawa pembasmian kemiskinan bukan sekadar terhad kepada wang ringgit dan harta benda, tetapi juga melibatkan kemiskinan akal budi, pemikiran, dan cita-cita.

Pada program itu, Perdana Menteri turut melancarkan Kempen Guru Bangsa dan Hari Akademia Negara 2024.

Allahyarham Za'ba turut dianugerahkan Tokoh Akademia Negara Sepanjang Zaman, yang diterima oleh cucunya, Dr Sharzede Datuk Salleh Askor.

-- BERNAMA