SEMUA negara dunia, khususnya negara–negara Barat yang banyak memperjuangkan isu hak asasi manusia dan menentang sebarang bentuk diskriminasi serta prejudis, perlu bersikap lebih adil dalam perjuangan mereka.

Semua negara perlu mengambil tindakan yang sama adil dalam mengatasi serta membendung sebarang elemen yang boleh melahirkan sikap kebencian, perasaan marah serta keganasan terhadap mana–mana pihak tanpa mengambil kira latar belakang, bangsa serta agama mangsa yang terlibat.

Jumaat lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan insiden pembunuhan kejam 50 orang di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang dilakukan oleh pengganas daripada golongan pelampau kulit putih.

Berpuluh lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat serangan tidak berperikemanusiaan termasuk terhadap golongan kanak–kanak.

Keganasan yang dilakukan ini menunjukkan sikap diskriminasi dan prejudis terhadap umat Islam masih wujud dalam kalangan negara–negara Barat.

Sikap Islamofobia yang masih wujud ini akan menyebabkan lebih ramai umat Islam hidup dalam keadaan takut serta bimbang akan keselamatan diri mereka, sekali gus menyukarkan sebarang usaha membawa perpaduan antara masyarakat Barat dengan komuniti Islam.

Negara-negara Barat perlu mengambil langkah lebih agresif dalam membendung sikap Islamofobia yang wujud dalam negara mereka sama seperti langkah agresif yang diambil bagi membendung sikap anti–Semitik di dalam negara mereka.

Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, banyak negara di Barat telah mengambil langkah agresif bagi melindungi masyarakat Yahudi yang menjadi mangsa korban ketika Perang Dunia Kedua daripada menjadi mangsa golongan anti–Semitik.

Anti–Semitik bermaksud sebarang tindakan diskriminasi, prejudis, serta keganasan yang dilakukan khusus kepada masyarakat berbangsa Yahudi.

Islamofobia pula merujuk kepada sebarang tindakan diskriminasi, prejudis, serta keganasan yang dilakukan khusus terhadap masyarakat beragama Islam serta terhadap agama Islam itu sendiri.

Islamofobia dan anti–Semitik mempunyai ciri–ciri yang hampir sama iaitu kedua–duanya memberi fokus terhadap perkara yang melibatkan diskriminasi, prejudis serta keganasan yang dilakukan terhadap mana–mana pihak berdasarkan bangsa serta agama mereka.

Memandangkan kedua–duanya memiliki ciri–ciri yang hampir sama, adalah wajar sekiranya langkah yang hampir sama juga diambil bagi membendung kedua–dua perkara berkenaan daripada berterusan berlaku dalam kalangan negara–negara Barat.

Malangnya, kebanyakan negara Barat memberi fokus utama terhadap perkara yang berkaitan dengan anti–Semitik.

Pelbagai jenis undang–undang telah diwujudkan di negara Barat bagi menghentikan sebarang tindakan yang melibatkan anti–Semitik.

Mana–mana pihak yang cuba membangkitkan isu yang berbaur anti–Semitik akan dikenakan tindakan undang–undang yang keras seperti denda yang tinggi serta hukuman penjara bertahun–tahun lamanya.

Pada awal tahun 2019 ini juga, Amerika Syarikat melalui Dewan Perwakilan Rakyatnya (House of Representative) telah meluluskan rang undang–undang khusus dalam membendung sikap atau tindakkan anti–Semitik.

Ini jelas menunjukkan kepada kita, banyak perhatian diberikan terhadap isu yang melibatkan anti–Semitik berbanding dengan isu yang melibatkan Islamofobia dalam kalangan masyarakat Barat.

Sekiranya negara–negara Barat benar–benar ikhlas dalam memperjuangkan isu kemanusiaan dan keadilan manusia sejagat, mereka perlu memberi fokus yang sama terhadap isu Islamofobia yang dilihat sedang menular dalam negara mereka, sepertimana fokus yang diberikan terhadap isu melibatkan anti–semitik.

Tidak boleh wujud sebarang double standard dalam perkara ini kerana ia melibatkan isu jenayah kebencian terhadap kaum dan agama tertentu.

Tindakan undang–undang yang keras perlu diambil terhadap mana–mana individu, kumpulan, ahli politik serta pemimpin negara yang berterusan mengunakan isu Islamofobia ini.

Isu yang melibatkan Islamofobia ini juga perlu dibawa ke peringkat antarabangsa. Pihak Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengeluarkan kenyataan yang jelas dan lebih keras menentang sebarang tindak–tanduk yang mengambarkan Islamofobia serta mengeluarkan kenyataan yang keras terhadap sebarang tindakan keganasan yang dilakukan terhadap umat Islam serta agama Islam.

Pihak PBB perlu mewujudkan satu bentuk undang–undang peringkat antarabangsa sama ada dalam bentuk protokol, perjanjian, atau konvensyen yang mengharamkan sebarang bentuk sikap Islamofobia di semua negara dunia.


Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.