Bapa kepada tiga anak itu, Abdul Latif Ibrahim, 34, sedar dari koma selama tiga bulan selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) susulan kejadian pada 10 Mac lalu itu.
Abdul Latif bagaimanapun sudah tidak boleh bercakap dan terlantar hilang kemampuan.
Isterinya, Siti Farhanis Mustapha, 23, yang menceritakan kembali detik hitam itu berkata, Abdul Latif pada hari berkenaan dalam perjalanan menaiki motosikal dari rumah mereka di Pengkalan Chepa menuju ke rumah ibunya di Kampung Tok Dir, Cherang Ruku, Pasir Puteh, untuk membantu membersihkan kebun ibu Abdul Latif.
Kata wanita itu, sebaik tiba di kampung berkenaan, suaminya membuka topi keledar dan terus menunggang di jalan kampung, namun secara tiba-tiba kelapa yang dipetik oleh dua beruk milik penduduk dari pokok setinggi kira-kira 30 meter terjatuh di atas kepalanya.
“Akibat ditimpa kelapa itu, tempurung kepala Abdul Latif retak dan berlaku pendarahan dalaman selain jari kelingking kaki kanannya patah kerana terjatuh daripada motosikal.
“Dia menjalani pembedahan membuang tempurung kepala sebelah kiri dan kini hanya terbaring serta memerlukan penjagaan rapi dengan meminum susu daripada tiub serta ditebuk bahagian leher untuk membuang kahak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mereka di Teluk Kitang, Sabak, Pengkalan Chepa, di sini, pada Selasa.
Menurut Siti Farhanis, Abdul Latif menerima katil pesakit yang dipinjamkan daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.
Abdul Latif sebelum ini memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan sebagai pembuat kek bagi menyara dia yang tidak bekerja dan anak mereka berusia lima bulan hingga empat tahun.
Akibat kejadian itu juga, katanya, dia terpaksa menyerahkan bayi bongsu mereka kepada adik perempuannya untuk dijaga sementara di Kubang Kerian, di sini.
“Saya tak mampu nak menjaga anak-anak yang masih kecil dalam keadaan suami sebegini. Sebelum ini, semua suami sediakan dan kini giliran saya pula menjaga dia yang sakit serta membawanya ke hospital untuk rawatan susulan setiap bulan.
“Kami juga tidak cukup wang bagi menampung perbelanjaan sekitar RM2,000 bagi susu khas, lampin pakai buang dan ubatan kepada Abdul Latif selain perlu membayar rumah sewa RM480 sebulan,” katanya.
Ujar Siti Farhanis, lebih memeritkan apabila barang kemasnya sudah habis dijual bagi menampung kehidupan kos keperluan harian dan bergantung ihsan orang sekeliling termasuk ibu sendiri, Hafsah Salleh serta adik-beradik.
Anak-anak pasangan itu bagaimanapun menerima Bantuan Kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM750 manakala permohonan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan belum pernah dibuat.
Bagi yang ingin membantu boleh salurkan ke Bank Islam Siti Farhanis Mustapha 03139023005340 atau hubungi ibunya 013-9635085. - Sinar Harian