TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim merakamkan ucapan tahniah atas cadangan ayahandanya, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk menubuhkan 'Bank of Johor'.

Dalam catatan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, baginda berharap agar Bank of Johor bukan sahaja membantu bangsa Johor yang kurang mampu untuk membuat pinjaman perumahan, bahkan dalam aspek simpanan dan pelaburan.

Sultan Johor hari ini mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan bank sendiri atau “Bank of Johor”.

Ia bagi memudahkan rakyat negeri itu membuat pinjaman perumahan ekoran masih ramai rakyat yang tidak dapat memiliki rumah walaupun kerajaan Negeri dan Persekutuan membina banyak rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.

“Negeri menubuhkan bank sendiri bagi memudahkan rakyat membuat pinjaman perumahan. Bank, yang dinamakan sebagai 'Bank of Johor', berkenaan turut diharap dapat memberi pembiayaan terhadap projek pembangunan selain membolehkan rakyat membuat simpanan tabungan dan pelaburan,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.



Netizen sambut baik

Cadangan Sultan Johor turut mendapat sambutan baik netizen yang berharap cadangan tersebut mampu meringankan beban kewangan.