SETIU: Selepas tiga tahun terselamat daripada banjir, seorang buruh di Kampung Buloh di sini, tidak menyangka rumahnya dinaiki air dalam kejadian disifatkan luar biasa yang berlaku ketika ini.

Mohd Khairul Anuar Abd Rahaman, 43, berkata pada mulanya dia lega kerana menyangka musim tengkujuh sudah berakhir bulan lalu sekali gus mereka sekeluarga terlepas daripada bencana alam itu.

"Mulanya memang lega ingatkan terlepas daripada banjir... sebab biasanya musim banjir tengkujuh ini berlaku hujung tahun dan mungkin berlarutan sikit ke Januari.

"Tidak sangka pula banjir kali ini berlaku hujung bulan Februari... jarang sangat rasanya jadi masa-masa seperti ini... kali ini air naik sehingga ke rumah saya.

"Memang terkejut juga namun kami segera berkemas  dan menyimpan barang-barang serta dokumen penting kerana bimbang banjir semakin buruk," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Sabtu.

Mohd Khairul Anuar berkata, hujan lebat sejak Khamis lalu menyebabkan kawasan rumahnya dinaiki air sekitar jam 7 malam Jumaat.

Katanya keadaan itu menyebabkan dia tidak lena tidur kerana bimbang paras air akan terus meningkat dan mereka bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, banjir di Terengganu yang memasuki hari kedua semakin memburuk dengan bilangan mangsa terus meningkat.

Kuala Terengganu dan Marang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, hari ini.

Situasi itu sekali gus menyaksikan sebanyak tujuh daerah di negeri ini telah terjejas termasuk Kemaman, Dungun, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga jam 6 petang, seramai 3,579 mangsa daripada 1,036 keluarga telah dipindahkan ke 73 pusat pemindahan sementara (PPS).