PUTRAJAY: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk pelajar di institusi yang tidak berada di bawah seliaan kementerian itu, akan diselamatkan seterusnya dibawa ke penempatan asrama bagi menjalani peperiksaan tersebut.


Ringkasan AI
  • KPM memastikan semua calon SPM, termasuk dari institusi bukan di bawah KPM, akan diselamatkan dan dibawa ke asrama untuk menduduki peperiksaan.
  • Pemindahan calon yang terjejas banjir sedang dilaksanakan dengan bantuan JPN Kelantan, memastikan mereka ditempatkan di asrama yang kondusif.
  • Calon SPM yang terjejas banjir dibenarkan memakai pakaian bersesuaian dan kelengkapan peperiksaan akan disediakan oleh JPN.


Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata penyelarasan data bagi calon SPM sudah dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

"Setakat ini pemindahan calon yang terkesan dengan banjir sedang dilaksanakan di semua peringkat JPN Negeri, ketiga-tiga negeri khususnya, dan mereka akan ditempatkan di asrama.

"Jadi gerakan untuk memindahkan mereka sedang dilaksanakan untuk memastikan mereka dapat tinggal di asrama yang kondusif dan dapat meneruskan ulang kaji dan persiapan SPM dengan lebih tersusun dengan sokongan yang akan kita sediakan bagi mereka menghadapi peperiksaan ini," katanya.

Fadhlina berkata demikian pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan pada Ahad.

Beliau mengulas keluhan ibu bapa, khususnya yang terjejas banjir di Kelantan, memandangkan ada calon SPM yang bersekolah di institusi bukan di bawah KPM dan masih belum diselamatkan pihak keselamatan.

Tambah Fadhlina, calon SPM yang terjejas akibat banjir tidak perlu memakai baju sekolah, sebaliknya dibenarkan mengenakan pakaian bersesuaian ketika menduduki Ujian Lisan Bahasa Melayu bermula esok.

"Calon juga boleh mengenakan pakaian bersesuaian untuk datang peperiksaan, tidak ada masalah dan jika tiada kelengkapan seperti alat tulis, ia semuanya akan disediakan pihak JPN," katanya.