KUALA LUMPUR: Satu lagi mayat mangsa banjir dikeluarkan dari kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam, menjadikan tujuh individu terkorban di kawasan itu, setakat ini.

Dengan pengeluaran mayat berkenaan jam 7.30 malam tadi, jumlah korban banjir di Selangor sehingga kini adalah 10 orang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis yang mengesahkan perkara itu memberitahu, pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mangsa.

Pun begitu, beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki itu berusia dalam lingkungan 30-an.

BACA LAPOR LANGSUNG ASTRO AWANI BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI      

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, sembilan individu termasuk seorang sukarelawan disahkan terkorban manakala seorang lagi masih hilang dalam insiden banjir yang melanda Lembah Klang.

Di Sri Muda, Shah Alam, enam mayat ditemukan termasuk dua dipercayai ibu dan anak yang dibawa keluar kira-kira pukul 4 petang, tadi.

Dua lagi mangsa maut dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil, Sepang dengan identiti mereka belum dikenal pasti.

Sementara itu, satu lagi kes maut adalah membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, semalam.