Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata cadangan pembaikan ialah menerusi kaedah Partial Reconstruction (CIPR) iaitu kerja meninggikan jalan dan menguatkan struktur turapan jalan baharu, yang dilihat dapat mengelakkan kerosakan akibat banjir.
Selain itu, peruntukan RM71,000 telah dimohon untuk membuat tampalan pada sendi renggang yang rosak di Seksyen 361.9 Jalan Kuantan - Chukai (FT03) iaitu Jambatan Sungai Ular di sini, sebagai tindakan pembaikan jangka masa pendek, dengan permohonan untuk menaik taraf jambatan itu telah dikemukakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang.
"Penyelenggaraan jalan raya sentiasa diberikan keutamaan dan menjadi agenda utama dalam inisiatif kempen MYJalan yang merangkumi usaha mengatasi pelbagai isu utama jalan raya seperti jalan rosak, masalah lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya.
"Kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana termasuk banjir juga sentiasa menjadi keutamaan JKR, terutamanya dalam berhadapan dengan Monsun Timur Laut," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Nanta melawat beberapa lokasi di sekitar Kuantan semalam, yang turut melibatkan taklimat persediaan menghadapi situasi Monsun Timur Laut oleh Pengarah JKR Pahang Datuk Hafizah Zakaria.
Taklimat itu, antara lain memperincikan kesiapsiagaan JKR Pahang menyediakan keperluan logistik dan pengangkutan bagi tujuan baik pulih dan membersihkan lokasi banjir, menyelaras laporan berkaitan bencana dan penyaluran maklumat berkenaan laluan alternatif semasa banjir.
-- BERNAMA