KUALA KRAI: Perkhidmatan feri Pasir Kelang yang menyeberangi Sungai Kelantan di sini dijangka beroperasi semula minggu depan, selepas operasinya dihentikan akibat banjir yang melanda kawasan itu sejak 27 Nov lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pasir Kelang Roslan Mamat bagaimanapun berkata keputusan itu bergantung kepada beberapa faktor, terutama cuaca dan paras semasa air sungai.

"Kalau dilihat ketika ini perkhidmatan feri itu masih belum boleh beroperasi kerana paras air sungai masih tinggi dan berisiko terhadap keselamatan penumpang.

"Memandangkan kami penduduk kampung sudah biasa dengan bencana banjir, jadi saya jangkakan minggu depan feri ini boleh beroperasi semula jika cuaca mengizinkan," katanya ketika ditemui Bernama di jeti Pasir Kelang di sini hari ini.

Sementara itu pemandu bot Mohd Shamsudin Abdullah, 54, pula berkata penduduk dari kampung seberang sungai seperti Pasir Kelang Baru, Buyong dan Tako Estet menggunakan bot untuk melakukan rutin harian semasa perkhidmatan feri dihentikan.

"Bot ini boleh muat enam orang sahaja dengan tambang yang dikenakan RM2 sehala dan rata-rata penduduk akan guna perkhidmatan bot apabila operasi feri dihentikan. Cabaran itu memang ada sebab kita bawa bot ini waktu musim tengkujuh tetapi langkah berjaga-jaga dan keselamatan penumpang sentiasa diutamakan," katanya.

-- BERNAMA