KUANTAN: Empat mayat kejadian lima kenderaan terperangkap dalam arus deras ketika di atas jambatan Telemong, Bentong yang berlaku pada awal pagi Sabtu, telah ditemukan pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Karak dengan bantuan pekerja dari kilang berhampiran pada Ahad.

Katanya, pada Ahad, pihaknya telah menyelamatkan 10 daripada 16 mangsa yang terperangkap dan mendapati seorang wanita warga emas telah meninggal dunia.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pada Isnin dan menemukan empat lagi mayat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BACA LAPOR LANGSUNG ASTRO AWANI BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Mayat pertama merupakan seorang wanita telah ditemukan pada jarak satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang pada jam 1.17 tengah hari.

"Mayat kedua seorang wanita warga emas dijumpai, pada jam 1.38 tengah hari,  manakala mayat ketiga seorang lelaki ditemukan pada jarak 1.2 kilometer, jam 2.07 petang.

"Mayat keempat seorang wanita dewasa ditemui pada jam 4:55 petang dalam jarak empat kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Seorang lagi mangsa merupakan lelaki dewasa masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.