Menterinya, Datuk Mohd Na'im Mokhtar turut telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera jabatan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun dan membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.
"Saya juga akan bersama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara-saudara kita yang terkesan di negeri-negeri terjejas.
"Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun.
"Lawatan ini telah saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Mohd Na'im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menzahirkan rasa bersimpati dan sedih akan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.
"Penghargaan juga dizahirkan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir," ujarnya.
Seramai 27,156 mangsa banjir membabitkan 8,476 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan bencana itu di lima negeri setakat jam 8 pagi, pada Khamis.