"Sepatutnya 45 minit lagi kita dah boleh sampai ke rumah, namun akibat banjir lumpur kami terpaksa menghabiskan masa selama sembilan jam dengan membuat satu pusingan besar untuk pulang ke rumah."

Itu keluhan seorang penjawat awam, Abdul Rashid Suleiman, 55, antara pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selepas penutupan jalan akibat banjir lumpur di Km 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Ketika itu beliau sedang dalam perjalanan dari Kuantan pulang ke Kuala Lumpur selepas mengambil anak perempuannya dari Kolej Profesional Mara, Kuantan.

"Kami bertolak dari Kuantan kira-kira pukul 4.30 petang dan selepas melalui Tol Karak kira-kira pukul 6.30 petang, kenderaan mula bergerak perlahan.

"Kesesakan menjadi lebih teruk apabila semua kenderaan tidak bergerak selama dua jam berhampiran dengan Masjid Lentang, selepas itu kami mendapat tahu ada tanah runtuh dan banjir lumpur di hadapan deretan kenderaan," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Rashid berkata selepas hampir dua jam terperangkap dalam kesesakan, beliau menarik nafas lega kerana melihat kenderaan di lorong kanan mula bergerak semula.

"Semua kenderaan masuk ke lorong kanan selepas pihak berkuasa membuka laluan itu namun setibanya di kawasan berhampiran tempat berlakunya banjir lumpur, kami diarah untuk membuat pusingan U dengan penghadang tengah lebuh raya dibuka.

"Saya terpaksa memandu mengikut arah Pelangai-Bahau-Seremban secara perlahan-lahan kerana jalan licin akibat hujan lebat sebelum sampai ke Kuala Lumpur pada pukul 3.30 pagi," katanya.

Beliau berkata kesesakan lalu lintas ini antara yang terburuk pernah dialaminya dan terpaksa mengharungi sembilan jam perjalanan daripada sejam perjalanan yang sepatutnya ekoran banjir lumpur.

"Sepatutnya kami sudah sampai ke rumah selepas sejam namun akibat daripada banjir lumpur itu kami terpaksa berpatah balik dan membuat pusingan yang besar untuk sampai ke destinasi," katanya.

Pekerja swasta Kok Mei Koon, 29, berkata beliau pada mulanya bercadang untuk bertolak ke Bentong, semalam untuk bercuti bersama rakan-rakannya.

"Namun apabila kenderaan kami berada di Lebuhraya MRR2, kami mendapat berita mengenai tanah runtuh dan banjir lumpur di Lebuhraya Karak menerusi radio dan media sosial menyebabkan kami terpaksa membatalkan perjalanan dan berpatah balik pulang ke rumah," katanya.

Semalam, kejadian tanah runtuh di Km52.4 Lebuhraya KL-Karak di laluan Lentang-Bukit Tinggi berlaku pada pukul 6.35 petang menyebabkan banjir lumpur hampir 500 meter di sepanjang laluan berkenaan.