KUALA LUMPUR: Operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya terjejas pada Selasa susulan landasan stesen Sri Rampai ke Wangsa Maju dinaiki air banjir. 

Rapid KL menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, tiada perkhidmatan tren di antara Sri Rampai ke Taman Melati susulan kejadian itu dan tren alternatif telah diaktifkan.

Menurutnya, tren dari Putra Height akan berpatah balik di Sri Rampai serta pelaksanaan tren perantara di antara Taman Melati ke Gombak.

"Tiada perkhidmatan tren di antara Sri Rampai ke Taman Melati. Bas perantara akan disediakan tetapi dijangkakan mengalami kelewatan kerana banjir kilat.

"Penumpang dari Sri Rampai ke Taman Melati disarankan untuk menggunakan mod pengangkutan alternatif lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Pada Selasa, beberapa kawasan di pusat bandaraya dan Ampang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama beberapa jam.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat diramal berlaku antara jam 9 hingga 11 pagi, Selasa di beberapa kawasan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor (Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang).