KULIM: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan dengan menempatkan seramai 48 mangsa daripada 12 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di daerah Kulim, pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS di Masjid Sungai Seluang itu mula beroperasi jam 9.55 malam tadi selepas kawasan kediaman penduduk dinaiki air.

“Air mula memasuki rumah penduduk setinggi 0.5 hingga 0.8 meter dan ini tidak selamat untuk mereka tinggal di kediaman sendiri.

“Setelah keputusan dibuat Pejabat Daerah dan Penghulu anggota APM membantu kerja-kerja pemindahan mangsa ke PPS.

“Semua mangsa dipindahkan terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, 15 kanak-kanak, lapan warga emas dan lapan bukan warga asing,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Dalam kejadian hujan sepanjang hari yang turun tanpa henti pada Sabtu mengakibatkan tiga daerah di Kedah iaitu Yan, Baling dan Kulim dilanda banjir kilat.

Dalam kejadian itu, 19 rumah di Baling terjejas kerana rumah mereka dinaiki air, bagaimanapun, tiada PPS dibuka.