KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan mempertahankan projek pembinaan terowong penyimpanan air bawah tanah berskala besar dalam usaha mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah itu merupakan satu kaedah penyelesaian jangka panjang, selain usaha-usaha mitigasi lain melibatkan jangka pendek dan sederhana yang sedang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, DBKL juga sedang melantik juruperunding untuk melaksanakan kajian kesesuaian terhadap cadangan membina terowong simpanan air bawah tanah tersebut seperti yang telah dibina di beberapa bandar besar seperti Jepun dan Amsterdam.

"Untuk projek jangka panjang, kita akan membina kolam takungan bawah tanah. (Makna) bawah tanah ini ialah bukan bawah bangunan tetapi bawah sungai atau jalan raya. Air ini akan disimpan di sana buat sementara waktu, selepas air sungai surut, air tersebut akan dikeluarkan.

"Sistem ini sangat menarik, Yang Berhormat tak pernah tengok lagi benda ini berlaku, yang dilaksanakan di beberapa bandaraya di dunia. Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan telah saya bawa melawat tempat ini satu demi satu," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Shahidan (BN-Arau) menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang meminta penjelasan mengenai kewajaran pembinaan terowong bawah tanah sekiranya penyelenggaraan sistem perparitan dan kerja-kerja mendalamkan sungai tidak dilakukan.

Sebelum itu, Datuk Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan projek-projek jangka pendek dan panjang yang dirancang untuk mengatasi masalah banjir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan jumlah peruntukan yang disediakan.

Menjelaskan perkara itu, Shahidan berkata, DBKL telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion bagi menjalankan projek mitigasi iaitu melibatkan RM160 juta untuk jangka pendek; RM345 juta (sederhana) dan RM2 billion untuk jangka panjang.

"Untuk jangka pendek, projek-projek jangka pendek yang dirancang dan dilaksanakan oleh DBKL termasuk menaik taraf sistem saliran terutama di kawasan hotspot banjir, memasang flap gate dengan izin di parit induk yang disalur ke sungai dan membina tembok penahan banjir.

"Bagi projek-projek jangka sederhana, DBKL (juga) bercadang untuk melaksanakan lapan projek mitigasi banjir antaranya, di Jalan Sultan Salahuddin dan Bulatan Dato’ Onn, sekitar Jalan Raja Mahadi, Sungai Toba, Segambut dan sistem saliran Jalan Kuching.

"Cadangan ini melibatkan kerja-kerja pembinaan kolam takungan bawah tanah dan kolam takungan terbuka dan menaik taraf infrastruktur sistem perparitan sedia ada," ujarnya lagi.

Tambah beliau, Jabatan Perparitan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWP) juga telah menerima peruntukan sebanyak RM83.62 juta bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur.

Langkah tersebut, ujarnya, termasuk pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir (RM45.96 juta); kerja-kerja kecemasan luar jangka, sebelum dan selepas banjir (RM3.2 juta); kerja-kerja penyenggaraan kolam takungan banjir (RM1.8 juta) serta program ramalan dan amaran banjir (RM2.8 juta).

Selain itu, sebanyak RM10.5 juta akan digunakan bagi rancangan tebatan banjir (RTB) di Upper Klang dan Sungai Bunus (RM10.5 juta) dan sejumlah RM19.36 juta bagi pemindahan peruntukan tambahan.

"Bagi tujuan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek mitigasi banjir ini, beberapa jawatankuasa ditubuhkan diperingkat DBKL iaitu Jawatankuasa Perancangan Projek (JKPR) DBKL, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek dan Jawatankuasa Pembangunan Projek DBKL.

"Ia dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Pengarah-Pengarah Eksekutif yang berkaitan serta dianggotai oleh pelbagai jabatan dalaman DBKL," kata Shahidan lagi.