KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap sedia sekiranya situasi banjir menjadi semakin buruk susulan ramalan hujan lebat di beberapa negeri, bakal berterusan sehingga pukul 3 pagi esok.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berikutan itu, pihaknya juga telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Seperti contoh, bagi kawasan Kampung Baru, JKM telah bersiap sedia untuk membuka sebuah lagi PPS di Jalan Raja Hamzah, sekiranya PPS di Dewan Sultan Sulaiman penuh, ia juga bagi memastikan SOP COVID-19 dapat dipatuhi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS berkenaan malam ini.

Rina berkata setakat pukul 10 malam ini, seramai 309 mangsa daripada 91 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan.

"Selain di sini, sebuah lagi PPS turut dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy Kampung Pasir di Jalan Klang Lama, yang menempatkan seramai 150 orang mangsa," katanya.

Hujan lebat sejak pukul 3 petang tadi telah menyebabkan beberapa kawasan dan lebuh raya di ibu kota dinaiki air sehingga setinggi satu meter.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan malam ini memaklumkan, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang, dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan, sehingga 3 pagi esok.

-- BERNAMA