BALING: Seramai 42 orang mangsa daripada 15 keluarga dari Kampung Iboi ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Ittifaqiah selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat pada petang Jumaat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata PPS terbabit mula diaktifkan pada jam 8.30 malam Jumaat selepas kediaman mereka tidak selamat untuk diduduki ekoran hujan masih turun dibimbangi keselamatan mereka terancam.

Beliau berkata, ini berikutan paras air Sungai Baling berada dalam keadaan berjaga-jaga.

“Hujan lebat di sekitar daerah Baling menyebabkan air sungai melimpah ke tebing memasuki rumah penduduk.

“Anggota yang melakukan pemantauan memaklumkan air sungai naik telalu cepat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut Mohd Faisol, agensi yang terlibat dalam pemindahan dan pengurusan mangsa di PPS adalah Pejabat Daerah Baling, Polis, Bomba, Kabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kabatan Kesihatan daerah.

Hujan skala lebat berterusan sejak jam 4 petang menyebabkan air sungai melimpah memasuki kediaman penduduk.