KUALA KRAI:Situasi banjir di Kelantan bertambah buruk dengan pertambahan mangsa banjir yang dipindahkan meningkat berbanding semalam. 

Setakat ini, tiga daerah terjejas teruk, iaitu Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Sehingga tengah malam tadi, 500 orang membabitkan 130 keluarga dipindahkan ke 18  Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuala Krai (288 orang), Tanah Merah (131 orang) dan Pasir Mas (81 orang).

Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepasi bacaan paras bahaya dan limpahan air sungai dijangka berlaku apabila paras air mencecah bacaan 10 meter.

Keadaan ini akan menyebabkan lebih ramai mangsa banjir dipindahkan di daerah Pasir Mas.

BACA: Jumlah mangsa banjir di Kelantan cecah lebih 400 orang

Empat sungai utama lain, Sungai Kelantan di Kursial, Tanah Merah, Sungai Galas di Limau Kasturi, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Jenob juga mencatatkan bacaan melebihi paras amaran dengan trend meningkat.

Stesen penyukat hujan di empangan Bukit Kwong, Pasir Mas, Kampung Jenob, Tanah Merah dan Jeli mencatatkan jumlah taburan hujan turun agak tinggi malam tadi.