PASIR PUTEH: Sebahagian besar mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini, merayu agar pihak berkuasa memberi perhatian kepada isu kemudahan yang belum lengkap.

Kekurangan fasiliti yang dianggap keperluan asas itu termasuk tilam, bantal dan selimut selain khemah yang memisahkan setiap keluarga, membuatkan ramai mangsa mengeluh.

Keadaan itu antara lain menyukarkan mangsa untuk menukar pakaian selain tiada privasi terutama apabila membabitkan lelaki dan wanita.

Menurut Sazwina Ismail, bukan mereka tidak bersyukur namun kemudahan terbabit perlu ada di PPS itu seperti mana yang disediakan di PPS lain.

"Anak lelaki saya pula sedang demam, jadi perkara ini semua menjadi keperluan buat masa ini.

"Sepatutnya ada kelengkapan tilam, bantal dan selimut sebab kesian dekat anak tidur semua sejuk... ini pun anak saya dah demam dan khemah pun tiada... hanya tikar disediakan.

"Nak cakap, banyak tak cukup... memanglah... tetapi kita bersyukurlah apa yang ada, cuma kalau boleh keperluan asas tu kita nak ada," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Sementara itu, rungutan sama yang disuarakan Syahrizal Ismail yang memohon sekurang-kurangnya khemah untuk aktiviti harian.

"Masalahnya bercampur lelaki dan perempuan... nak salin pakaian terpaksa cari kawasan jauh lebih-lebih lagi untuk orang perempuan.

"Bantal, tilam semua memang tiada, kita bukan nak minta selesa sangat tapi itulah... keperluan asas itu memang tiada," ujarnya lagi.

Bagi Zainuddin Abdul Rahman, sejak berada di PPS tersebut pada hari pertama, keadaan sememangnya masih kurang dengan keperluan asas.

"Kain selimut, tikar, bantal semua tiada jadi terpaksalah balik rumah tengok apa yang ada.

"Saya cuma kesiankan cucu dan terutamanya isteri yang buat masa ini tidak berapa sihat... kita terima sajalah keadaan tengah darurat kan," luahnya.

Setakat ini, seramai 102 mangsa terdiri daripada 32 keluarga ditempatkan di PPS SMK Kamil.

Tinjauan Astro AWANI turut mendapati, sebahagian mangsa terpaksa berhimpit ekoran keadaan bilik kelas sekolah yang masih belum diatur sepenuhnya.

Astro AWANI akan mendapatkan kenyataan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkenaan isu ini.