PENDANG: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus catat peningkatan apabila 2,618 orang daripada 482 keluarga kini ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir setakat tengah hari ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, enam daerah di negeri itu terjejas termasuk Kuala Muda, Pendang, Kota Setar, Kubang Pasu, Kulim, dan Pokok Sena.

Beliau berkata, jumlah mangsa paling ramai yang berpindah adalah di daerah Pendang setakat ini.

"Keseluruhan mangsa banjir di Kedah adalah seramai 2,618 mangsa daripada 482 keluarga ditempatkan di 14 pusat termasuk yang baharu dibuka di seluruh negeri membabitkan enam daerah," katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Rakan Sukan Pendang, di sini pada Rabu.

[TERKINI] Banjir: Mangsa di Kedah meningkat 2,194 orang


Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir, paras air di lapan sungai di seluruh negeri itu kekal melebihi paras bahaya dan terus meningkat setakat jam 12.00 tengah hari.

Ia membabitkan tiga sungai di Kubang Pasu, dua di Kota Setar, dan masing-masing satu di Yan, Padang Terap dan Pendang melepasi tahap bahaya.

Di Kubang Pasu, Sungai Terap di Kepala Batas mencatatkan paras air 4.42 meter (m), melepasi paras bahaya 3.8m, manakala Sungai Bata di Kampung Bata mencatatkan paras air 9.51m melebihi 9.14m. Sungai Laka di Kampung Padang Pasir berukuran 23m, melepasi 21.6m.

Di Kota Setar, Sungai Anak Bukit di Taman Aman mencatatkan paras 3.19m melebihi 2.6m, manakala di Jambatan TAR, Sungai Anak Bukit mencatatkan 2.01m melebihi paras bahaya 1.7m.

Di Pendang, Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang mencatatkan 6.39m melepasi 6.3m manakala Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap, mencatatkan 14.82 melebihi 14.2m.

Di Yan, Sungai Gurun di Kampung Perupok melepasi 3.62m melebihi 3.5m.

Empat sungai lain iaitu Sungai Ketil dan Sungai Sedim di Baling, Sungai Sari di Padang Terap, dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya Kota Setar sudah melebihi paras amaran.

Selain itu, Sungai Janing di Kampung Labi, Padang Terap, kini berada pada tahap berjaga-jaga.