KUBANG PASU: Jasad pengawal keselamatan, Ismail Hashim, 49 yang hanyut ketika memukat ikan di sungai tebatan banjir Kampung Paya Parit Lateh dekat Jitra ditemukan jam 7.50 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, berkata, jasad mangsa ditemukan tersangkut pada reba di tebing sungai, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.

"Alhamdulillah, jasad mangsa ditemukan kira-kira 7.50 pagi tadi setelah hampir 36 jam misi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

"Jasad mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada reba di tebing sungai. Sebaik ditemukan, jasadnya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian jam 7.15 petang Ahad, mangsa yang sedang memukat ikan, lemas ketika berenang menyeberangi sungai tersebut untuk merentangkan pukat, sambil disaksikan isteri, tiga anak serta bapa saudaranya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Romli Bakar, 61, berkata, seluruh ahli keluarga bersyukur dengan penemuan jasad arwah setelah pelbagai usaha dijalankan termasuk dengan cara berdoa dan azan di lokasi kejadian.

"Setelah selesai segala urusan di hospital, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Fateh, Tanjung Pauh dekat sini sebelum dikebumikan di Kampung Tanah Merah," katanya.

Tambahnya, dia masih merasa terkilan kerana gagal menyelamatkan Ismail walaupun kejadian tersebut berlaku di depan mata.

"Setelah menyedari Ismail lemas dan tenggelam, saya cuba terjun ke sungai untuk mencarinya. Saya bagaimanapun hanya mampu bertahan tak sampai lima minit, tidak jauh dari tebing sungai kerana arus terlalu deras dan membahayakan," kata Romli.