TEBRAU: Hujan berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kampung Kangkar Tebrau, di sini, dinaiki air pada Selasa.

Tinjauan Astro AWANI ke kawasan itu mendapati air mencecah sehingga ke paras dada di beberapa tempat dan jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Kangkar ditutup kepada orang awam.

Menurut penduduk tempatan, air mula naik pada jam 6 pagi tadi selepas hujan lebat sejak jam 4 pagi.

Bahkan, ada penduduk mendakwa banjir kali ini hampir sama seperti banjir besar yang berlaku pada tahun 2006 susulan limpahan Sungai Tebrau di sebelah kampung itu.

Tinjauan Astro AWANI ke kawasan itu mendapati air mencecah sehingga ke paras dada di beberapa tempat. - Foto Astro AWANI

Begitupun, tinjauan petang ini mendapati paras air semakin surut namun penduduk tetap bimbang kerana cuaca masih hujan dan difahamkan, air pasang juga diramal berlaku pada jam 4 petang.

Sementara itu, cuaca di Kota Tinggi pada jam 3 petang ini keadaan masih hujan dan paras air banjir dilihat sudah semakin surut tetapi tidak begitu banyak.

Penduduk masih bimbang terutama melihat keadaan cuaca yang berterusan hujan, ditambah pula dengan jadual air pasang yang berlaku pada setiap hari sejak Ahad lepas.

Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang mencatatkan sedikit peningkatan kepada 8,462 orang setakat hari ini. - Foto Astro AWANI

Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang mencatatkan sedikit peningkatan kepada 8,462 yang berlindung di 74 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini berbanding 8,366 di 73 PPS, pagi tadi.

Menurut laporan terkini situasi bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Johor sebanyak 26 PPS dibuka di Kota Tinggi yang menempatkan 4,676 mangsa, diikuti 13 di Kluang (1,591), lima di Johor Bahru (847), empat di Segamat (75) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86) dan Pontian (22).