KEMAMAN: Jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin berkurangan dan hanya satu daerah masih lagi terjejas.

Pengurangan itu susulan penutupan dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Dungun pada jam 11.30 pagi tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu setakat ini, sebanyak enam PPS di daerah Kemaman masih diaktifkan bagi menempatkan 158 orang mangsa.

Menerusi jumlah itu seramai 76 mangsa daripada 16 keluarga ditempatkan di Dewan Sivik Air Putih dan sembilan lagi mangsa dipindahkan ke Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor.

Manakala seramai 39 mangsa masih berada di surau Kampung Ban Ho serta dua keluarga melibatkan tujuh mangsa ditempatkan ke Masjid Tebak Batu 16.

Sementara itu Balairaya Lubuk Megat masih dibuka bagi menempatkan 12 mangsa dan seramai 15 lagi mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok.

Menurut laporan itu cuaca juga bertambah baik dan tiada hujan di negeri berkenaan.