Berbaki kira-kira seminggu sebelum dijangka melahirkan anak keempat, Maisarah Abd Yahal, 35, kini berlindung di PPS Dewan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi bersama suami, Mohd Azizi Ahmad, 33, tiga anak berusia 13 hingga lapan tahun serta ibunya, Musalmah Sabran, 60.
Menurutnya, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS selepas air naik pada pagi Khamis kerana bimbang dengan keselamatan kandungan.
Kerani di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru itu mengakui pengalaman berdepan situasi banjir beberapa kali sebelum ini membuatkan dia dan keluarga sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Hujan lebat sejak malam Rabu menyebabkan kami sekeluarga rasa tidak senang hati. Pada sebelah pagi sebelum saya hendak bergerak ke tempat kerja, saya lihat air sudah naik dan kami sekeluarga diminta berpindah ke PPS.
"Mujur, barang-barang bayi dan keperluan bersalin sudah diletakkan di dalam kereta. Alhamdulillah urusan berpindah ke PPS dipermudahkan walaupun ketika itu hujan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Walaupun letih berpindah-randah dan mengharungi banjir hampir empat kali sejak lima tahun berpindah ke Taman Aman, Maisarah tetap tabah menerima ujian tersebut.
"Ini kali pertama saya berpindah ke PPS dalam keadaan sarat mengandung. Tidak sangka, ketika mengandung anak keempat saya berpindah ke PPS disebabkan banjir.
"Syukur segalanya selamat dan ramai yang membantu saya di PPS termasuk dari klinik kesihatan. Makanan dan keperluan anak-anak semuanya dijaga dengan rapi oleh petugas di sini," katanya.
Sementara itu, pengalaman saban tahun berdepan banjir 'mengajar' warga emas K.Madavi yang telah menetap di Taman Aman hampir 30 tahun, untuk menyimpan barangan dan dokumen penting lebih awal.
"Boleh katakan setiap tahun banjir, walaupun sudah biasa dengan situasi ini saya tetap takut sebab saya berseorangan dengan umur saya sudah tua ..nasib saya ada anak cucu dan jiran yang membantu.
"Masa kejadian hujan lebat itu, saya tidak lena tidur sebab saya sentiasa risaukan air di longkang akan penuh dan khuatir akan masuk ke rumah dan apabila air sudah melepasi paras atas lutut, semua jiran termasuk saya keluar dan pindah ke PPS ini," katanya yang kematian suami sejak 13 tahun lepas.
Setakat 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor adalah sebanyak 1,192 orang di 12 PPS di Kota Tinggi, Mersing, Johor Bahru dan Kluang.
-- BERNAMA