KUALA TERENGGANU: Sebanyak enam sekolah di tiga daerah di Terengganu terpaksa ditutup pada Khamis susulan dinaiki air akibat hujan lebat secara berterusan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, tiga daerah yang terlibat ialah Dungun melibatkan penutupan tiga sekolah, dua di Hulu Terengganu dan sebuah sekolah ditutup di Setiu.

"Tiga sekolah ditutup di Dungun ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kuala Jengal dan SK Kampung Shukor.

"Selain itu, di Hulu Terengganu melibatkan sekolah seperti SK Bukit Tadok dan SK Kua manakala di Setiu, sekolah yang ditutup pula ialah SK Kampung Buloh," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, kesemua enam sekolah ini tidak dapat beroperasi seperti biasa susulan banjir yang melanda menyebabkan kawasan sekolah ditenggelami air selain ada laluan ke sekolah yang turut dinaiki air.

Sementara itu, Jelani menyatakan terdapat tiga sekolah di Setiu yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi penempatan mangsa banjir dalam gelombang keempat kali ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kesemua tiga sekolah itu tetap beroperasi seperti biasa pada hari ini.

Menurutnya, ini kerana mangsa banjir ditempatkan di bangunan yang berlainan selain tidak mengganggu sesi pembelajaran di sekolah.

Jelani berkata, tiga sekolah yang dijadikan PPS di daerah Setiu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap, SK Seri Kasar dan SK Kampung Bukit.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 1,559 mangsa daripada 471 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.

Sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak 32 PPS telah dibuka di Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu. -Sinar Harian