KUANTAN: Situasi banjir di Pahang semakin buruk dengan jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 1,521 orang pada petang ini, berbanding 137 semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 5 petang, sebanyak 50 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri ini, menempatkan sebanyak 429 keluarga.

Raub menjadi daerah paling teruk terjejas melibatkan 744 mangsa daripada 221 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS.

Di Kuantan, seramai 266 mangsa daripada 86 keluarga ditempatkan di 3 PPS; Jerantut (sembilan PPS) (232 mangsa daripada 43 keluarga); Lipis (lapan PPS) (196 mangsa daripada 54 keluarga); Maran (sembilan PPS) (161 mangsa daripada 43 keluarga).

Sementara itu, paras air di lapan sungai sudah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Bukit Betong dan Jeti Lipis di Lipis, selain Sungai Lipis di Benta;  Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Pahang di Sungai Yap dan Paya Gintong di Jerantut; Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh.