KUALA LUMPUR : Badan yang telah diberi amanah untuk mengurangkan risiko bencana perlu bertindak lebih proaktif dalam mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko banjir yang paling kerap berlaku di negara ini.

Pengarah Pusat Geokejuruteraan Tropika (GeoTropik), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata, tindakan itu termasuk merancang dan mengenal pasti langkah pencegahan yang perlu diambil, selain memberikan respons pantas sekiranya berlaku bencana seperti banjir kilat.

"Sekiranya banjir kilat berlaku, langkah pencegahan boleh dilakukan melalui jangkaan pihak berkuasa.

"Badan yang bertanggungjawab perlu bertindak pantas dengan memberi makluman kepada orang ramai. Maknanya, sudah ada petunjuk dari pihak berkuasa berkenaan lokasi yang akan dinaiki air. Perkara ini boleh dilakukan sebenarnya.

"Badan itu juga sebenarnya perlu mengetuai langkah pencegahan bencana itu, kerana itulah fungsi mereka," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

BACA : Enam kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat

BACA: Banjir kilat Lembah Klang: KWP, DBKL cari penyelesaian berkesan

Dalam pada itu, beliau melihat terowong SMART turut membantu situasi banjir di ibu negara, namun, ia tidak meliputi semua kawasan.

Justeru, selain tindakan pantas pihak berkuasa terlibat, beliau mencadangkan agar satu pelan tindakan segera dibuat dalam menangani banjir yang terlalu kerap berlaku di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.

Ia termasuk mencari mekanisme baharu dengan merekabentuk kejuruteraan untuk mengalirkan atau melencongkan air banjir dengan lebih cepat, sekali gus mengurangkan risiko bencana.

"Saya rasa tidak perlu peruntukan besar (untuk tangani bencana), cuma kita perlu lihat kepada kawasan saliran tambahan. Ini penting," ujarnya lagi.



Selain itu katanya, sistem perparitan di negara ini juga perlu sentiasa diselenggara bagi melancarkan aliran air susulan hujan lebat yang berlaku di sesetengah kawasan.

"Sistem perparitan di ibu negara sudah wujud lama, jadi kapasitinya berbeza dengan sekarang. Sebagai contoh sekarang ini penduduk meningkat, jadi penyelenggaraan itu perlu dipertingkatkan lagi, " ujarnya.

BACA: Banjir kilat Lembah Klang: KWP, DBKL cari penyelesaian berkesan