Ringkasan AI
- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) diiktiraf oleh beberapa negara luar seperti Indonesia, Thailand, dan Uzbekistan sebagai rujukan dalam pelaksanaan bancian dan pengumpulan data pertanian.
- DOSM juga menjadi destinasi lawatan sambil belajar bagi Uzbekistan untuk pelaksanaan banci pertanian mereka pada tahun depan.
- Statistik pertanian yang dikumpul DOSM digunakan untuk merangka dasar dan program jangka pendek dan jangka panjang, meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti, serta mempromosikan pertanian mampan.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, selain Indonesia dan Thailand, Malaysia merupakan satu daripada negara Asia yang paling ke hadapan dalam pelaksanaan statistik dan bancian.
Katanya, ketika ini Uzbekistan juga telah memilih DOSM sebagai destinasi untuk lawatan sambil belajar bagi tujuan pelaksanaan banci pertanian di negara mereka pada tahun depan.
“Usaha ini selari dengan saranan Perdana Menteri tentang bagaimana perkhidmatan awam negara kita dapat memberikan juga perkhidmatan atau memainkan peranan di peringkat antarabangsa.
“Ini antara usaha dilakukan DOSM yang mana banyak negara telah menjadikan kita sebagai rujukan, macam tahun lepas ada delegasi dari Mesir dan Turki dan kita juga akan menandatangani satu lagi MOU dengan Tajikistan,” kata Mohd Uzir ketika melawat Jeti Nelayan Bukit Palong, di sini, pada Khamis.
Pada lawatan yang turut disertai delegasi Statistics Agency Under The President of the Republic of Uzbekistan (Statistics Agency) itu, DOSM memberi pengalaman mengenai pengoperasian pelaksanaan banci yang akan diguna pakai di negara mereka pada tahun depan.
Dalam pada itu, kata Mohd Uzir lagi, tempoh operasi banci pertanian yang berbaki 14 hari begitu penting kepada DOSM untuk melengkapkan proses pengumpulan data pertanian di peringkat huluan.
Tambahnya, proses itu kini telah mencapai 91 peratus yang mana kebanyakan negeri telah pun mencapai tahap 80 peratus ke atas, termasuklah yang tertinggi iaitu negeri Melaka yang sudah mencapai 94 peratus meliputi kediaman dan pertubuhan yang telah dilawati bagi kutipan data.
Menurut Mohd Uzir, bagi Negeri Sembilan, operasi banci pertanian telah mencapai 86.3 peratus daripada 37,795 tempat kediaman dan 97.4 peratus daripada 1,017 pertubuhan yang berpotensi menjalankan pertanian telah dilawati.
“Daripada jumlah itu sebanyak 30,749 tempat kediaman pertanian bersamaan 81.4 peratus dan 893 pertubuhan pertanian bersamaan 87.8 peratus sudah dilawati dan daerah dengan pencapaian yang tertinggi adalah Jempol dan Rembau.
“Secara ringkasnya, statistik pertanian ini dapat digunakan untuk merangka dasar dan program jangka pendek dan jangka panjang serta untuk meningkatkan keterjaminan makanan, produktiviti serta mempromosikan pertanian mampan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, ujar Mohd Uzir, meskipun kadar respons yang diterima adalah tinggi, DOSM menyasarkan supaya data yang diperoleh merupakan data lengkap.
Ia bagi mencerminkan senario sebenar, lebih-lebih lagi membabitkan golongan petani mahu pun nelayan yang tidak mempunyai rekod kukuh berbanding syarikat gergasi yang terlibat dengan aktiviti pertanian.