PASIR PUTEH: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyumbangkan sebuah Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2.0 kepada balu bekas pemain bola sepak Kelantan di Kampung Gong Datuk, di sini, hari ini.


Ringkasan AI
  • SPNB menyumbangkan sebuah Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2.0 bernilai RM68,000 kepada balu bekas pemain bola sepak Kelantan di Kampung Gong Datuk sebagai penghargaan kepada Allahyarham Wan Ezila Wan Daud.
  • Datuk Husam Musa, pengerusi SPNB, menyatakan sumbangan ini adalah dalam usaha memperingati jasa Allahyarham dan membantu balunya, Suhaini Muhamad Asri, yang kini tidak memiliki rumah sendiri.
  • SPNB telah membina ribuan unit RMR di Kelantan dan seluruh negara sebagai komitmen dalam memperkasa agenda perumahan menerusi kerangka Malaysia Madani, sambil mempertimbangkan program CSR lain seperti bekalan elektrik solar di Sabah dan Sarawak.


Pengerusinya Datuk Husam Musa berkata sumbangan rumah bernilai RM68,000 itu adalah sebagai menghargai sumbangan Allahyarham Wan Ezila Wan Daud dalam arena sukan bola sepak.

"Balu Allahyarham tidak mempunyai rumah sendiri dan kini menumpang di rumah ibu bapanya yang turut didiami oleh adik-beradik lain, selain tiada punca pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai pengasuh bagi menampung perbelanjaan kehidupan.

"Sebagai mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham dan prihatin akan kesusahan yang dihadapi oleh balunya SPNB melalui Program Tanggungjawab Sosial (CSR) menyumbangkan RM48,000 manakala RM20,000 subsidi kerajaan bagi membina rumah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran RMR 2.0 itu kepada balu Allahyarham, Suhaini Muhamad Asri di sini hari ini.

Husam berkata sejak RMR diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga Mei 2024, SPNB telah berjaya membina 10,349 unit RMR di Kelantan dan 65,617 unit di seluruh negara.

Beliau berkata SPNB sentiasa memberikan komitmen bagi memastikan projek perumahan kepada seluruh rakyat di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diberi keutamaan dalam memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan seluruh rakyat menerusi kerangka Malaysia Madani.

"SPNB juga sedang pertimbangkan untuk mengadakan program CSR menyediakan bekalan elektrik secara solar di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu Suhaini berkata beliau sangat menghargai sumbangan itu dan akan kembali menetap di kampung selepas rumah berkenaan siap.

Beliau berkata sejak suaminya meninggal, beliau bersama dua anaknya yang masing-masing berumur 15 dan sembilan tahun berhijrah dan menetap di rumah anak tirinya di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA